Jawab UPSR, Bergegas Balik Mandikan Jenazah Bapa

Kisah ketabahan hati seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat perhatian netizen.

Menerusi laman Facebook oleh seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Hussayn mengenai murid itu, Azri Haziq Hairul Saleh yang kehilangan bapanya pada hari terakhir (14 September) dia menduduki ujian tersebut tular di laman sosial, seperti memetik MD.

“Alhamdulillah. Selesai sudah anak-anak Tahun 6 menduduki UPSR hari ini. Tanggal 14 September 2017 adalah tarikh yang saya tidak akan lupakan sepanjang berkhidmat sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling di mana seorang anak murid saya yang kental jiwa dan kuat semangatnya menduduki peperiksaan selepas jenazah ayahnya selamat dikebumikan.

“Allahu, hati mana yang tidak sayu melihat ketabahan anak ini dari luar kelas menjawab soalan dengan hanya memakai baju yang dipakai ke kubur ayahnya sebentar tadi (semalam),” demikian catatan Cikgu Hussayn yang setakat ini dikongsi lebih 6,700 pengguna Facebook.

Jelas Cikgu Hussayn, apa yang membuatkan beliau lebih sayu adalah kecekalan hati anak muridnya itu yang menduduki peperiksaan bukan di sekolah asal, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(2) sebaliknya sebagai calon tumpang di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Klang kerana jenazah bapa Azri Haziq dikebumikan di kawasan tersebut.

“Sebelum itu pada jam 8.15 pagi, dia juga hadir untuk menjawab soalan Sains Kertas 1. Kemudian bergegas pulang untuk upacara memandikan, mengkafankan, menatap wajah ayahnya buat kali terakhir dan menunaikan solat jenazah bersama penduduk kampung sebelum jenazah ayahnya dikebumikan.

“Inilah wajah anak didik yang saya maksudkan (gambar). Mari sama-sama kita doakan dia tabah dan kuat menghadapi ujian ini. Doakan dia berjaya suatu hari nanti dan doakan juga ayahnya iaitu almarhum En. Hairul Saleh ditempatkan bersama golongan beriman. Aamiin,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun itu yang nekad menghabiskan UPSR di saat menerima berita sedih mengenai pemergian bapanya.

Menurut guru itu, tidak ramai individu yang mampu berdepan dengan dugaan tersebut dan melakukan seperti apa yang dibuat oleh anak muridnya itu.

“Cikgu syukur dapat bersama Azri hari ini (semalam) di rumah dan sekolah serta semalam di bilik mayat Hospital Putrajaya. Satu kenangan yang takkan cikgu lupakan sampai akhir hayat.

“Moga kisah Azri menjadi pendorong dan pembakar semangat buat kawan-kawan di luar sana. Teruskan perjuangan menuntut ilmu. Solat selalu dan banyakkan berdoa.

“Jadi anak soleh yang mendoakan ayah ya sayang (panggilan untuk anak murid). Andai ada apa-apa masalah boleh datang jumpa cikgu pada bila-bila masa. Respect! Salute!,” katanya.

Ia sesuatu yang bagus dan sangat mengagumkan selepas mengetahui bahawa ada kanak-kanak secekal Azri Haziq. Semoga Azri Haziq terus tabah mengharungi dugaan ini dan berjaya pada masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.