Dari Luar Negara PM Terus Ke Kedah Ziarah Makam Almarhum Sultan Abdul Halim

ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengambil kesempatan menziarah makam Almarhum Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah, di Makam Diraja Langgar, sebentar tadi sebaik tiba di negara ini, selepas mengadakan lawatan kerja ke Washington, Amerika Syarikat sejak Selasa lalu.

Perdana Menteri yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), dekat sini, pada kira-kira jam 6 petang sebelum bergerak ke Makam Diraja Langgar bagi menziarah makam Almarhum Sultan Abdul Halim.

Beliau meluangkan masa selama kira-kira setengah jam menziarah makam Almarhum Sultan Abdul Halim dan membaca doa yang diketuai oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang.

Perdana Menteri dan isteri kemudiannya menjirus air mawar dan menabur bunga di atas makam Almarhum Sultan Abdul Halim.

Turut berangkat ialah Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Salehuddin.

Berangkat sama Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri, Datin Seri Hizam Awang Ahmad.

Najib kemudiannya bergerak pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat khas.

Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang diputerakan pada 28 November 1927, mangkat di Istana Anak Bukit pada jam 2.30 petang, Isnin lalu.

Sebelum ini, Najib melalui laman Twitter dan Facebooknya merafak kemangkatan Sultan Abdul Halim dan menyifatkan Almarhum sebagai seorang Raja Pemerintah yang disanjung tinggi selain peramah, mesra, berhemah tinggi dan amat disayangi rakyat.

Najib berada di Washington selama tiga hari sejak Selasa lalu untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald J Trump sempena sambutan ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.