“Buat Apa Bubuh Bawah Bantal, KWSP Perlu Banyak Melabur Di Luar Negara” – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dasar membenarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meneroka pelaburan di luar negara telah lama wujud sejak beliau memimpin kerajaan lagi.

Katanya, apabila membuat pelaburan di luar negara ia akan membolehkan KWSP menambah pendapatan dan para pencarumnya pula mendapat pulangan dividen yang tinggi.

“Kalau disimpan di sini umpamanya dalam Bank Negara Malaysia, kalau wang itu tidak digunakan, bank tersebut sudah tentu tidak dapat membayar faedah ke atas simpanan tetap itu.

“Jadi dengan wang yang begitu banyak, saya fikir KWSP harus melabur ke luar negara untuk menambahkan pendapatannya,” katanya dipetik dari kenyataan kepada Utusan Malaysia bertarikh 26 April 2005.

Kenyataan beliau itu kini viral di media sosial susulan kritikan pemimpin dan penyokong pembangkang yang mempertikaikan langkah KWSP menambah pelaburan di Amerika Syarikat.

“Saya setuju (labur luar negara) sebab ia adalah dasar lama, dulu pun kerajaan memberikan kebenaran,” katanya.

Menurut beliau, KWSP tidak akan mendapat pulangan tinggi sekiranya dengan wang yang begitu banyak tidak dilaburkan sedangkan para pencarum menyimpan dalam KWSP untuk mendapatkan pulangan dalam bentuk dividen setiap tahun.

“Hendak buat apa kalau bubuh bawah bantal, kita tidak boleh bayar faedah, jadi kenalah labur,” ujarnya.

Ujarnya lagi, kepelbagaian pelaburan KWSP di dalam dan di luar adalah penting kerana ia boleh memecahkan risiko sekiranya negara menghadapi masalah kemerosotan ekonomi.

“Kalau kemerosotan dalam negara, yang luar boleh membantu dan begitu juga jika di luar merosot yang dalam boleh membantu,” katanya dipetik dari kenyataan tersebut. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.