Ahmad Idham Terus Bikin Filem

KREDIBILITI Ahmad Idham sebagai pengarah dipertikai apabila filem arahannya bertajuk Pencuri Hati Mr. Cinderella (PHMC) kurang mendapat sambutan peminat di pawagam selain hanya mampu meraih kutipan kurang daripada RM20,000.

Menerima pelbagai kritikan negatif, pelakon filem Anaknya Sazali itu bagaimanapun tetap optimis dan positif meneruskan kerjayanya sebagai pengarah dalam industri seni tempatan.

Baginya, meskipun naskhah tersebut kurang menarik perhatian peminat untuk ke panggung tetapi ia bukan menjadi titik noktah sehingga menutup pintu hatinya untuk terus menghasilkan karya berkualiti pada masa akan datang.

Kata lelaki berusia 42 tahun itu, hasil kutipan di pawagam tidak memberi cerminan bahawa sesebuah karya itu berkualiti, sebaliknya ia lebih bersifat komersial atau karya yang mudah ‘dihadam’ minda penonton.

KOSMO!: Bagaimanakah reaksi Ahmad Idham apabila mengetahui filem PHMC kurang mendapat sambutan penonton di pawagam?

AHMAD IDHAM: Saya tidak faham mengapa khalayak sering melihat kutipan filem di pawagan seperti simbol kejayaan bahawa karya tersebut benar-benar baik.

Segelintir filem yang mendapat pulangan lumayan mungkin kerana naskhah dipamerkan bersifat komersial dan mudah diterima penonton.

Pada saya, apa yang berlaku adalah lumrah industri hiburan. Tambahan, pihak pawagan juga kurang memberi peluang untuk filem ini ditayangkan antara dugaan perlu saya tempuhi.

Selain itu, saya sendiri sedar bahawa filem ini mempunyai risiko tinggi kerana mempamerkan plot penceritaan yang berbeza daripada kebiasaan karya komersial lain.

Meskipun dikatakan gagal, tetapi saya tetap mempunyai perancangan lain untuk PHMC.

Bolehkah anda huraikan mengenai perancangan lain buat filem tersebut?

Selain pawagam, filem itu juga akan disiarkan menerusi kaca televisyen. Saya telah bekerjasama dengan pihak Astro untuk menyiarkan filem PHMC menerusi langganan Astro First bermula awal September lalu. Saya yakin filem tersebut pasti akan mendapat sambutan penonton.

Apakah yang membuatkan anda berasa yakin bahawa filem berkenaan akan mendapat sambutan baik di kaca televisyen sedangkan ia antara karya kutipan terendah di pawagam sepanjang tahun ini?

Sejurus filem ini ditayangkan, ramai peminat memberitahu bahawa mereka memilih untuk menontonnya di kaca televisyen berbanding di pawagam.

Respons yang saya terima ialah mereka ingin merasai semula nostalgia sewaktu drama rantaian Cinderella ditayangkan sekitar tahun 1998. Saya akui perkara seperti ini memberi cabaran kerana cita rasa penonton berbeza.

Kegagalan PHMC secara tidak langsung menyebabkan khalayak mempertikai kredibiliti anda sebagai pengarah. Bagaimanakah reaksi anda?

Apabila kita berdepan dengan kegagalan pastinya masyarakat mula berpendapat bahawa seseorang itu sudah tidak mampu untuk meneruskan perjuangan.

Pada saya, setiap individu pasti berdepan dengan saat jatuh bangun.Apa yang cuba saya tonjolkan menerusi filem tersebut ialah dengan memberi peluang kepada pelapis baharu untuk menonjol.

Ada pendapat mengatakan pelakon baharu tidak sesuai memegang watak utama tetapi saya ingin membuktikan bahawa pandangan tersebut kurang tepat.

Perkara itu sama seperti saya memberi peluang buat Shaheizy Sam menerusi filem Adnan Sempit (2010), Yana Samsudin, Intan Ladyana, Farid Kamil, Pierre Andre dan barisan pelakon filem Tentang Bulan (2006).

Disebabkan itu saya mengambil Atikah Suhaimi kerana melihat potensi yang ada dalam dirinya. Umum mungkin lupa bahawa saya pernah menempa kejayaan menerusi filem seram Jangan Pandang Belakang (2007) hanya kerana mereka menilai PHMC.

Selepas filem PHMC, adakah anda akan menghasilkan karya baharu dalam tempoh masa terdekat ini?

Saya kini dalam proses penggambaran filem genre seram komedi bertajuk Hantu Wangan. Sesuatu yang agak klise tetapi itu yang sering dimahukan penonton.

Menerusi filem tersebut, saya merancang untuk menggunakan khidmat lebih 20 pelawak popular tempatan, manakala Achey Bocey sebagai tunjang utama.

Isu terkini, anda menjadi viral di media sosial minggu ini kerana didakwa menonton bahan lucah atau porno. Bagaimana anda melihat dakwaan tersebut?

Bohong sekiranya mengatakan saya tidak pernah menonton perkara sebegitu kerana kita semua bukan malaikat yang bebas daripada melakukan perkara buruk.

Apa yang dilihat, insiden ini dilakukan untuk mengaibkan selain menjejaskan nama baik serta reputasi saya sebagai selebriti seperti dilakukan oleh penggodam.

Bagaimanapun, saya tahu perkara itu tidak akan bertahan lama dan membiarkan sahaja tetapi tetap memandang serius terhadap individu tidak bertanggungjawab ini kerana melakukan tindakan salah.-Kosmo

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.