Video: Tun Mahathir Setuju Agenda Bebas Anwar

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan kesediaan memenuhi agenda dan tuntutan pembangkang untuk membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari penjara jika berjaya menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“Semua itu (agenda bebas Anwar) akan datang kalau kita dapat jatuhkan Datuk Seri Najib.

 

“Segala apa nama rancangan yang dibuat oleh semua parti-parti (pembangkang), apa semua, itu datang kemudian,” katanya ketika mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelumnya menyokong agenda membebaskan Anwar.

 

Tun Mahathir bagaimanapun menjelaskan perancangan itu hanya berlaku sekiranya pakatan pembangkang yang disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berjaya menguasai Putrajaya dalam PRU14.

 

“(Tapi) waktu ini kita tak boleh janji kerana kita tiada kuasa,” ujarnya bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu.

 

Tun Mahathir turut menegaskan beliau akan bersetuju dengan agenda sekiranya ia dipersetujui oleh semua pihak.

 

Pada 1998, Tun Mahathir memecat Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri atas dakwaan memiliki moral rendah yang dikaitkan dengan kegiatan meliwat dan rasuah.

 

Dalam perkembangan berkaitan, semalam anak perempuan kedua Anwar iaitu Nurul Nuha menggesa Tun Mahathir memohon maaf kerana  ‘mereka-reka’ cerita dan tuduhan liwat ke atas bapanya pada 1998.

 

Menurut Nurul Nuha, bekas Perdana Menteri itu perlu bertanggungjawab dan mengakui kesalahannya secara terbuka sebelum terfikir untuk bekerjasama dengan pakatan pembangkang.

 

“Sebagai seorang anak gadis yang menyaksikan azab yang tidak terkira bapa saya lalui 18 tahun yang lalu, hasrat peribadi saya adalah supaya Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka dan mengakui dakwaan berkenaan adalah rekaan.

 

“Saya rasa ini akan mengurangkan penderitaan yang kami lalui sebagai sebuah keluarga. Ia bukannya akan menjadi lebih mudah, tetapi kamu perlu menjadi lebih kuat,” kata Nurul Nuha.

 

Tuntutan Nurul Nuha itu bagaimanapun mengundang cemuhan ramai Tun Mahathir di media sosial dan mereka sebaliknya mendesak anak Anwar itu melupakan peristiwa lama demi kesepakatan pembangkang menjatuhkan Najib. –  SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.