Syria mungkin jadi pilihan pelancong?

NEGARA Syria mungkin bukan menjadi pilihan utama kebanyakan pelancong sebagai destinasi pelancongan.

 

Namun Syria sebenarnya menyimpan seribu satu keindahan yang mungkin kita tidak menjangkakannya.

 

Walaupun perang saudara yang melanda negara itu dalam tempoh lima tahun yang lalu, Lembaga Pelancongan Syria kini mahu menarik pelancong untuk menikmati keindahan pantainya.

 

Kementerian Pelancongan Syria sebahagian daripada rejim pimpinan Bashar al Assad telah menyiarkan satu video yang memaparkan pantai Mediterranean di negara tersebut.

 

Menggunakan slogan “always beuatiful” video yang menampilkan pemandangan dari udara dengan payung dipantai serta ramai pengunjung yang berenang dan menaiki jet ski.

 

Selain itu, video oleh kementerian tersebut bertujuan memikat pengunjung termasuk video lain yang bertajuk “Syria from the sky” yang turut memaparkan bandar purba Roman, Palmyra yang berjaya ditawan semula dari militan Daesh.

 

Sebelum ini, pejuang militan Daesh memusnahkan sebahagian daripada bandar termasuk kuil dan pintu gerbang berusia hampir 2000 tahun semasa taklukan mereka.

 

Memetik BBC Newsbeat, video ini adalah berbeza sama sekali dengan apa yang kita lihat terhadap negara itu yang musnah akibat perang.

 

Perang saudara di Syria berlaku terutamanya di kawasan pedalaman sejak ia bermula dengan pemberontakan terhadap rejim Assad.

 

Kawasan pantai di mana sokongan Assad kekal kukuh bagaimanapun masih belum “disentuh’.

 

PBB percaya bahawa lebih daripada 250,000 orang telah terbunuh dalam konflik itu, manakala lebih 4 juta rakyat Syria telah melarikan diri dari negara tersebut.

 

Bagaimanapun, pejabat Luar UK kini menasihatkan rakyatnya bahawa semua perjalanan ke semua tempat di negara tersebut dibatalkan kerana keadaan “sangat tidak menentu dan berbahaya” di sana.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.