Satu Maut, 14 Cedera Dalam Letupan Enjin Bot Pelancong Di Bali

DENPASAR – Seorang wanita warga asing terbunuh manakala 14 yang lain cedera apabila enjin sebuah bot pelancong yang baru sahaja berlepas dari pulau Bali meletup pada pagi Khamis.

 

Polis belum dapat mengenal pasti punca letupan dan skuad bom telah dikerah untuk menyiasat.

 

Menurut pihak berkuasa, wanita itu terbunuh di atas bot yang ketika itu sedang menuju ke pulau percutian Gili Trawangan dari pelabuhan Padang Bai di timur Bali.

 

Identiti mangsa warga asing yang meninggal dunia akibat kecederaan di kepala itu, walau bagaimanapun, masih belum dapat disahkan.

 

14 penumpang lain yang cedera termasuk warga Portugal, Jerman, Australia, Korea Selatan dan Britain, menurut maklumat awal daripada pihak polis.

 

Bot malang itu membawa 35 penumpang, kesemuanya warga asing, serta empat anak kapal.

 

“Letupan itu berlaku lima minit selepas bot bertolak,” kata ketua polis Sugeng Sudarso kepada AFP, sambil menambah bahawa bot itu berada kira-kira 200 meter dari pelabuhan.

 

Indonesia dilapor mempunyai rekod keselamatan maritim yang teruk dan telah berlaku kejadian sama di mana tiada unsur jenayah dikesan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.