MCA anggap Nazri tak hormat rakan BN

SHAH ALAM – Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz digesa meninggalkan BN kerana bersikap sombong dan tidak menghormati rakan dalam komponen parti itu.

 

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon dalam kenyataannya berkata, tindakan Nazri itu telah memusnahkan hubungan persahabatan antara parti komponen BN.

 

“Nazri dilihat berulang kali menyebelahi pembangkang sehingga membolehkan pembangkang memohon beberapa peruntukan pembiayaan, yang telah menimbulkan kemarahan BN.

 

“Beliau bercakap tanpa berfikir dirinya adalah seorang menteri Kabinet,” katanya.

 

Jelasnya, kenyataan Nazri sebelum ini bahawa menteri itu rapat dengan DAP dan tidak bersama MCA bagi mendapat sokongan masyarakat Cina menunjukkan beliau tidak layak mewakili BN dalam PRU akan datang.

 

“Asas bagi kerjasama BN dibina atas kewujudan bersama dan perkongsian bersama,” katanya.

 

Beliau turut mengingatkan Nazri agar tidak lupa dengan PRU pada 1999 yang mana undian berasaskan kaum Cina menyebabkan BN terus berkuasa walaupun berlaku perpecahan berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Kim Soon berkata, jika Nazri tidak memahami semangat BN, atau fikir boleh menang berdasarkan karismanya semata-mata, beliau boleh bertanding sebagai calon bebas pada PRU akan datang.

 

“Beliau akan dialu-alukan untuk menyertai semula BN jika beliau menang,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.