Jamal Ajak Penyokong Pergi Mahkamah, Halau Peguam Anwar

KUALA LUMRUR – Datuk Jamal Yunos yang pernah menganjurkan himpunan Baju Merah pro-kerajaan tahun lalu hari ini menggesa orang ramai hadir di Mahkamah Persekutuan bulan depan untuk menghalau peguam Amerika Syarikat, Kimberley Motley, dalam semakan kehakiman Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

“Sebagai seorang peguam, beliau sewajarnya menghormati undang-undang di negara ini dan tidak bertindak kurang ajar seperti peguam gila seolah-olah beliau mempunyai kuasa menghasut rakyat,” kata ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu, yang mengecam Kimberley sebagai biadap.

 

Semalam, Kimberley yang dilantik ke dalam barisan peguam Anwar, dibenarkan melawat bekas ketua pembangkang itu, yang kini menjalankan hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh.

 

Susulan itu, peguam hak asasi itu berharap wartawan melihat sendiri keadaan bekas ketua pembangkang di penjara.

 

Beliau menjelaskan perlembagaan Malaysia membenarkan sesiapa sahaja bertemu ketua umum PKR itu.

 

“Saya menyarankan anda sebagai pengamal media bercakap sendiri dengan Anwar dan mendapatkan jawapan sendiri mengenai soalan-soalan terhadap Anwar,” katanya.

 

Kimberley, yang mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana membenarkannya bertemu Anwar, dijangka menghadiri perbicaraan semakan kehakiman Anwar pada 12 Oktober.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.