Peserta Himpunan Rakyat Bersatu Dinasihatkan Pakai Topeng Muka

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Hamim Samuri menasihatkan peserta Himpunan Rakyat Bersatu (HRB) yang akan diadakan 16 September ini supaya hadir dengan memakai topeng muka kerana bimbang dengan keadaan jerebu yang melanda negara.

 

Menurut Hamim, jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) direkodkan kepada tahap tidak sihat maka semua peserta perlu memakai topeng muka berkenaan kerana aktiviti himpunan dilakukan di kawasan terbuka dan terdedah kepada jerebu.

 

“Setakat 15 September IPU direkodkan masih belum mencapai tahap merbahaya. Jika IPU direkodkan lebih daripada 200 hingga 300 tahap tidak sihat dan IPU 300 ke atas merbahaya jadi eloklah mereka (peserta) memakai topeng muka,” kata Hamim kepada BNBBC.my.

 

Bagaimanapun semalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi aplikasi Whatapps telah tersebar memaklumkan HRB bakal ditunda kepada satu tarikh lain yang akan diberitahu kelak jika  keadaan cuaca jerebu semakin buruk.

 

Sebaliknya menurut SMS berkenaan jika IPU direkodkan turun sehingga ke paras 120 pada hari Rabu ini, perhimpunan HRB akan diteruskan dan semua peserta diminta bersedia.

 

Setakat semalam, portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan jumlah kawasan di seluruh negara yang mempunyai bacaan IPU tidak sihat meningkat kepada 33 kawasan berbanding 31 kawasan sebelum ini.

 

Dua kawasan baharu yang mencatat IPU tidak sihat ialah Sibu (106) dan Pasir Gudang (103) manakala Banting mencatat bacaan IPU tidak sihat paling tinggi iaitu 188 setakat ini.

 

Kawasan lain di Selangor yang terjejas teruk dilanda jerebu dengan bacaan IPU tidak sihat ialah Pelabuhan Klang (181), Petaling Jaya (168), Shah Alam (167) dan Kuala Selangor (137).

 

Semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka akan ditutup hari ini, berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk.

 

“IPU (Indeks Pencemaran Udara) menghampiri 200. Semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka ditutup esok 15.9.2015,” menurut kenyataan Kementerian Pendidikan lewat malam tadi. – BNBBC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.