Komen Dr Mahathir Sama Seperti Menghina Mahkamah

KUALA LUMPUR – Komen bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai filem dokumentari terbitan Al Jazeera berhubung pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, adalah sama seperti menghina mahkamah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

 

“Mula-mula sekali mahkamah pun membicarakan kes ini dan membuat keputusan.

 

“Adakah Dr Mahathir menyatakan mahkamah di Malaysia tidak boleh dipercayai dan hakim-Hakim di Malaysia tidak jujur?

 

“Jika tidak mengapa Dr Mahathir mempersoalkan mahkamah dan membuat sindiran mahkamah tidak jujur, sebenarnya sama seperti menghina mahkamah,” katanya menerusi catatan dalam blognya sskeruak.blogspot.my, semalam.

 

Salleh berkata Dr Mahathir harus ingat pada 1998 apabila beliau menjadi perdana menteri, dakwaan yang sama dibuat terhadapnya berhubung perbicaraan kes liwat bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

“…. Dan Dr Mahathir menjawab beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada Anwar bersalah atau tidak. Malah seorang peguam yang mempersoalkan hakim didakwa kerana menghina mahkamah,” kata beliau.

 

Selain itu, Salleh berkata ia bukan terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membuktikan dirinya tidak bersalah seperti dicadangkan oleh Dr Mahathir.

 

“Ia adalah bagi mahkamah untuk membuktikan kebersalahan. Dan mahkamah pun membebaskan Abdul Razak Baginda.

 

“Jadi dengan apa cara lain Dr Mahathir mencadangkan supaya Najib membersihkan namanya? Adakah terdapat cara lain selain daripada melalui mahkamah?” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!