Royalti Minyak Hanya Mitos

Tumpat – Royalti petroleum untuk kerajaan negeri hanya mitos, kerana ia tidak pernah dinyatakan dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata yang disebut dalam akta itu adalah bayaran tunai, dan ia diberi kepada negeri di mana gas atau petroleum itu ditemui.

“Dalam Akta Kemajuan Petroleum, tak pernah sebut bayaran royalti, (tetapi) yang disebut adalah bayaran tunai kepada negeri atau kerajaan negeri itu.

“Sekarang (bayaran tunai) itu tertakluk kepada definisi negeri itulah (layak atau tidak mendapat bayaran tunai),” katanya ketika melawat pusat operasi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kewangan memaklumkan, Kerajaan Negeri Kelantan tidak berhak mendapat lima peratus bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dijumpai dan dikeluarkan dari kawasan perairan melebihi tiga batu nautika dari garis air surut ataupun persisiran pantai negeri.

“Bagaimanapun, kerajaan Pusat mengambil langkah sementara dengan mewujudkan Program Wang Ehsan sehingga isu tuntutan oleh Kerajaan Negeri Kelantan diputuskan mahkamah,” kata Md Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dalam satu ceramahnya semalam berkata, lebih RM590 juta telah disalurkan kerajaan Pusat kepada Kelantan sejak 2005 hingga 2013, kecuali 2008 bagi menampung kekurangan akaun mengurus kerajaan negeri yang defisit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.