Ras Adiba Radzi Pertikai Menteri Saran LGBT Guna Tandas OKU

KUALA LUMPUR — Saranan agar golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menggunakan tandas orang kelainan upaya (OKU) menimbulkan kemarahan Persatuan OKU Sentral.

Mengkritik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, pengerusinya mempersoal motif berkongsi tandas dengan golongan yang berupaya.

“Saya pohon YB sebagai seorang Menteri meminta maaf kepada komuniti OKU di Malaysia, kerana tindakan YB ini membuat saya dan sahabat-sahabat OKU semua marah,” kata Ras Adiba Radzi.

“Pohon berfikir dahulu dan hormati perasaan kami sebelum melulu memberikan cadangan tanpa tahu menahu akan hak kami”.

Beliau berkata tandas OKU sering disalah guna sebagai tempat untuk merokok, dijadikan bilik stor dan tempat rehat pekerja kebersihan.

Bekas personaliti televisyen terkenal turut mempersoalkan sama ada Fuziah ada membuat penyelidikan sebelum memberi cadangan tersebut.

“Kami sudah sekian lama melalui keadaan sebegini, mengapalah YB ingin mencadangkan sebegitu,” katanya, juga pengasas persatuan itu.

Fuzian mencadangkan golongan transgender menggunakan tandas OKU bagi mengelak perasaan tidak selamat dalam kalangan orang awam.

Saranan itu berbangkit susulan beberapa individu memberi pandangan mengenai penggunaan tandas mana yang harus digunakan LGBT. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.