PPBM Tuduh PKR Biadap, Desak Anwar Kawal Pemimpin Parti

KUALA TERENGGANU — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terus menyerang wakil rakyat PKR berhubung dakwaan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri,

“Saya anggap dakwaan ini sangat melampau dan biadap,” kata ketua PPBM Terengganu Datuk Razali Idris, mengulas tuduhan Abdullah Sani, seperti dilaporkan Berita Harian.

“Tidak wajar mengaitkan nama Dr Mahathir dalam pemilihan parti PKR hanya semata-mata ingin memenangkan calon kumpulan mereka.”

Beliau menggesa Anwar, yang menang presiden PKR tanpa bertanding baru-baru ini, mengawal tuduhan itu yang didakwanya tidak berasas.

“Abdullah perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan dan kemukakan bukti yang jelas dengan membuat laporan terperinci…,” kata Razali lagi dalam kenyataannya.

Berkempen untuk Rafizi Ramli pada Ahad lalu, ahli parlimen Kapar mendakwa Anwar berdepan masalah jika Datuk Seri Azmin Ali tidak ditewaskan daripada kerusi timbalan presiden PKR.

Mahathir melalui Tun Daim Zainuddin, pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, didakwa menggunakan Azmin untuk menghalang Anwar.

Isnin lalu, seorang ahli majlis tertinggi PPBM menggesa pemimpin atasan PKR membantah kenyataan pemimpin mereka yang disifatkan “biadab”.

Menggesa PKR menjaga “adab” dan tidak “celupar”, Wan Saiful Wan Jan mahu sekutunya “jangan memfitnah pemimpin parti lain.”

“[…] janganlah pula ada pemimpin parti lain yang celupar menfitnah semata-mata kerana nafsu mahu mengejar jawatan dunia,” katanya.

Walau Wan Saiful tidak menyebut pemimpin PKR berkenaan, kenyataannya itu dipercayai merujuk dakwaan Abdullah.

Rafizi, naib presiden PKR, dilihat berada dalam kem berbeza daripada Azmin dan ketegangan mereka sudah tidak asing lagi di kalangan pemimpin parti. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.