Cuaca Panas Dijangka Berterusan Hingga September – Jabatan Meteorologi

KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan dan negeri di Semenanjung Malaysia bakal berdepan cuaca panas dan kering sepanjang Ogos hingga pertengahan September ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), fenomena itu berlaku akibat fasa monsun barat daya yang mendominasi keadaan cuaca negara sepanjang tempoh berkenaan.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, sepanjang Ogos, kebanyakan negeri di Semenanjung akan menerima hujan yang sedikit dan menyebabkan suhu meningkat pada siang hari.

“Keadaan cuaca yang kurang hujan maka kita dapati banyak kawasan akan berlaku kebakaran semak, kebakaran hutan dan sebagainya.

“Kita lihat keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan September di mana monsoon barat daya berakhir, diganti dengan fasa peralihan monsun pada ketika itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menerusi laporan MET Malaysia, kebanyakan tempat di semenanjung akan menerima hujan pada paras normal dengan jumlah 150mm hingga 250mm.

Sementara Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka menerima hujan sedikit di bawah paras normal antara 100mm dan 150mm.

Mengulas mengenai kebarangkalian jerebu akan melanda Malaysia, Dr Mohd Hisham berkata, pihaknya menjangkakan tidak akan berlaku jerebu rentas sempadan.

“Berdasarkan pada corak tiupan angin barat daya memang kita akan terima angin daripada Sumatera dan Kalimantan akan bertiup ke negara kita.

“Walau bagaimanapun kita dapati bilangan hotspot itu masih rendah. Dalam bilangan rendah kita tidak jangkakan akan berlaku jerebu rentas sempadan di mana jerebu dari indonesia memasuki negara kita,” katanya.

Tambah Dr Mohd Hisham, fenomena ini akan menyaksikan beberapa lokasi di pantai barat dan pedalaman semenanjung menerima taburan hujan melebihi paras normal menjelang Hari Raya Aidil Adha nanti.

“Kita jangkakan sekitar 19 – 21 Ogos, keadaan angin tidak berapa kencang di kawasan negara kita menyebabkan boleh terbentuk awan-awan hujan yang bersifat sementara. Apabila selepas Hari Raya Aidil Adha, kita jangkakan keadaan kembali tiada hujan untuk beberapa hari mendatang,” katanya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.