Tiada Lagi Laporan Pegawai KPDNKK Diugut

IPOH – Tiada laporan terbaharu membabitkan pengawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diugut oleh pihak tertentu bagi mengelak diri mereka dikenakan tindakan, kata Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Henry Sum Agong.

 

Beliau berkata ini kerana masyarakat mula sedar tugas dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan oleh pegawai penguat kuasa bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

 

“Tiada laporan lagi diterima baru-baru ini mengenai perkara itu (ugutan), kita yakin rakyat sudah jelas mengenai peranan penguat kuasa yang menjalankan tugas mereka untuk membantu rakyat dan bukan sebaliknya,” katanya.

 

Sum berkata pada sidang media selepas merasmikan Upacara Penutupan Kursus Asas Penguatkuasaan Siri 2/2016 KPDNKK di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, beliau menyeru supaya setiap pegawai penguat kuasa melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan, pemikiran yang kreatif dan inovatif agar kementerian itu kekal relevan dan mampu beradaptasi dengan perubahan sekeliling.

 

Pada majlis itu, Sum menyampaikan sijil tamat latihan kepada 100 pelatih yang terdiri daripada Pegawai Penguat kuasa Gred KP41, Penolong Pegawai Penguat kuasa Gred KP29 dan Pembantu Penguat kuasa Gred KP19 latikan tahun 2014.

 

Nur Fatehah Abdul Latif, 22, yang berasal dari Terengganu dinobatkan sebagai peserta Terbaik Keseluruhan manakala penembak terbaik disandang oleh Dedi Susanto Japar, 27, dari Sabah.

 

Latihan yang dijalankan selama sebulan sejak 17 Julai lalu, turut didedahkan dengan latihan menembak, jasmani, kawad dan ketenteraman awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.