Video: Siasat Dalang Gerakan Guling Kerajaan – Ismail Sabri

Georgetown – Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri menggesa pihak berkuasa menyiasat dengan teliti dan telus tentang gerakan yang didakwa cuba menggulingkan kerajaan.

 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata jika benar dakwaan itu, perbuatan mereka yang terlibat dengan gerakan itu bukan sahaja mengancam UMNO malah keselamatan negara.

 

 

“Kalau apa yang disebut (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) itu benar, saya kira orang yang terlibat ini (iaitu anggota) dalam parti yang bersekongkol dengan pembangkang, ia perkara yang tidak boleh dimaafkan oleh parti.

 

“Apa yang dilakukan itu akan mengorbankan parti yang telah pun dipilih secara demokratik oleh rakyat pada pilihan raya. Ini suatu pengkhianatan kepada parti,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jelutong di sini, Sabtu.

 

Beliau mengulas pendedahan Ahmad Zahid mengenai gerakan menggulingkan kerajaan yang didalangi pembangkang serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

 

Semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ampang Sabtu, Ahmad Zahid berkata rancangan itu dijalankan dengan cara mendapatkan akuan bersumpah daripada Anggota Parlimen pembangkang serta cuba menarik Anggota Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui ‘jalan belakang’.

 

Ismail Sabri berkata sebagai anggota UMNO yang berikrar mempertahankan parti, mereka tidak seharusnya bersekongkol dengan pembangkang untuk menumbangkan parti secara tidak demokratik.

 

Terdahulu, dalam ucapannya Ismail Sabri meminta semua anggota UMNO supaya bersatu menghadapi serangan media sosial dan mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.