Video: Abu Kassim Ikrar Teruskan Siasatan SRC International

Subang – Tan Sri Abu Kassim Mohamed berikrar akan memastikan siasatan terhadap syarikat SRC International berkaitan dengan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan.

 

Abu Kassim berkata, beliau akan memastikan siasatan dijalankan secara sempurna sebagaimana kes-kes yang disiasat SPRM sebelum ini.

 

 

“Selagi saya Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), saya akan memastikan siasatan berkenaan isu SRC‎ International selesai,” katamnya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Pusat Perubatan Ara Damansara hari ini, Sabtu.

 

Kenyataan Abu Kassim sekaligus menolak pelbagai spekulasi dan dakwaan bahawa beliau diarah bercuti oleh pihak tertentu.

 

Dalam pada itu Abu Kassim turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh masyarakat yang menyokong SPRM ketika dilanda krisis.

 

“Saya ucapkan terima kasih kepada masyarakat yang memberi sokongan kepada SPRM semasa kami mengalami krisis,” katanya.

 

Beliau bagaimanapun menegaskan siasatan terhadap SRC akan berjalan sempurna walaupun tanpa penglibatannya secara langsung.

 

Beliau dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan berisiko 7 Ogos lalu akibat sakit belakang.

 

Jawatan beliau kini dipangku Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM, Datuk Mustafar Ali.

 

Sebelum ini, pelbagai spekulasi timbul apabila Ketua Pesuruhjaya itu mengambil cuti sakit dan ia dinafikan Timbalan Pesuruhjaya Operasinya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdul bahawa Tan Sri Abu Kassim diarah bercuti.

 

SPRM merupakan satu daripada empat badan yang menyiasat dakwaan penyaluran dana ke akaun bank milik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.