Pelan Tindakan Elak Jadikan Alasan Derma Politik – SPRM

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentukan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi mewujudkan struktur pembiayaan politik yang inklusif dan menyeluruh.

 

Agensi anti-rasuah itu dalam satu kenyataannya hari ini, berkata pelan tindakan itu adalah selaras dengan cadangan yang telah dibincangkan sejak penubuhannya pada 2009.

 

Menurut SPRM, antara cadangan utama adalah untuk mempunyai dana politik yang disalurkan terus ke dalam akaun parti berbanding ke akaun peribadi pemegang amanah.

 

Katanya, ini adalah untuk menjamin integriti parti serta individu.

 

“Sesetengah individu mempunyai persepsi negatif terhadap parti berdasarkan kepada pembiayaan politiknya.

 

“Dalam hal ini, adalah penting bagi parti politik untuk sentiasa berusaha ke arah membina persepsi positif di kalangan masyarakat.”

 

Menurut kenyataan itu lagi, kaedah terbaik bagi mencapai matlamat itu adalah kesemua parti politik perlu mengisytiharkan sumber kewangan yang boleh diaudit pada bila-bila masa, dan membenarkan pengawasan oleh pihak berkuasa.

 

“Ini secara langsung dapat mengelakkan mana-mana ahli politik disiasat kerana rasuah dengan menggunakan alasan bahawa wang yang disalurkan ke dalam akaun peribadi mereka adalah derma politik tanpa menyediakan butiran lanjut atau dokumentasi.

 

“Bagi sebarang dana politik yang ingin diserahkan kepada individu daripada pihak tertentu, kebenaran bertulis daripada ketua parti harus diperolehi dan dana tersebut tidak boleh mempunyai hubungan secara langsung dengan tugas rasmi kedua-dua penderma serta penerima.”

 

Agensi berita antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu, menerbitkan pendedahkan yang menuduh Najib mengambil RM2.6 bilion, yang didakwa dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Najib yang menafikan dakwaan itu kemudiannya mendedahkan bahawa RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya adalah derma yang dipercayai diberikan oleh penderma di Timur Tengah.

 

Dalam kenyataan itu, SPRM berkata, pelan pembiayaan dana politik adalah termasuk komponen yang mewajibkan kakitangan kerajaan daripada pentadbiran negeri serta persekutuan mengisytiharkan apa sahaja bentuk sumbangan atau hadiah yang diterima.

 

“Dalam hal ini, SPRM bersedia memberi input serta pandangan kami kepada JKNMPP.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.