Pas Sedia Umum Dana Politik

Kuala Lumpur – PAS bersedia untuk mengumumkan jumlah dana politik yang diterima parti itu selaras dengan pengumuman penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) .

 

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata mereka mempunyai rekod dan catatan lengkap mengenainya dan tidak mempunyai halangan untuk mengisytihar semua sumbangan dana yang diterima oleh parti itu.

 

“Kita tak ada masalah untuk umumkan dana ini sebab biasanya kami terima dana daripada sumbangan terbuka, malah kalau dalam program seperti ceramah dan sebagainya kita umumkan berapa jumlah kita dapat pada masa itu,” katanya.

 

Beliau berkata berdasarkan undang-undang, setiap parti politik dibolehkan mencari dana dari luar dan hanya perlu mengisytiharkan senarai perbelanjaan parti dalam musim pilihan raya.

 

“Memiliki dana dan perbelanjaan semasa musim pilihan raya adalah dua perkara berbeza, itu kena jelas,” katanya.

 

Ketika mengumumkan penubuhan JKNMPP di Putrajaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia bertujuan merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.

 

Takiyuddin berkata, keanggotaan JKNMPP perlu dibuka kepada semua parti politik termasuk pembangkang bagi memastikan pelan tindakan yang akan dihasilkan telus dan menyeluruh.

 

“Setiap parti politik perlu mempunyai wakil sebagaimana jawatankuasa-jawatankuasa lain yang dibentuk di peringkat nasional,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.