Mahathir Sembunyi Korupsi, Kerja Kotor Semasa Pentadbirannya – SH Alattas

BENTONG – Ketika tumpuan masyarakat dunia terarah kepada kontroversi yang melanda Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya turut terkena tempias sama.

 

Jika sebelum ini serangan ke atas susuk tubuh Presiden Umno itu acapkali dilakukan oleh pemimpin pembangkang termasuk Dr Mahathir, namun keadaan sebaliknya berlaku apabila bekas perdana menteri itu pula kini menjadi sasaran.

 

Penulis politik veteran tersohor, Syed Hussien Al-Attas berkata, gangguan terhadap pentadbiran dan kepimpinan Najib dilihat sudah melebihi batasan kerana beliau sendiri melakukan kegagalan besar sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

 

“Hari ini orang bercerita tentang apa yang Najib buat saja. Saya rasa itu tidak betul. Kita kena tengok apa yang Dr Mahathir sudah buat dan dia kena fikir Najib itu adalah Pemuda Umno di zaman dia.

 

“Tapi banyak benda tak elok dia (Dr Mahathir) buat, (cuma) orang tak nak bercerita,” katanya pada pelancaran bukunya ke-74 bertajuk ‘Dosa-dosa Che Det’ di kediamannya, di Janda Baik, di sini, semalam.

 

Syed Hussien mengakui Dr Mahathir adalah ‘hero’ beliau sebelum ini namun sudah tiba masanya ‘kerja kotor’ bekas perdana menteri itu ketika mentadbir negara didedahkan kepada umum.

 

“Saya tengok Dr Mahathir ini sudah lebih, sudah sampai masanya dia perlu pergi (tinggalkan politik), dia terlupa yang Maha Kuasa hanyalah ALLAH,” ujarnya.

 

Ditanya tentang ‘dosa-dosa’ Dr Mahathir dalam buku terbaharunya itu, beliau berkata terdapat cerita-cerita lama, namun ia belum didedahkan sebelum ini.

 

Antaranya punca kekalahan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah kita bertanding merebut jawatan Presiden Umno dalam perhimpunan agung parti itu pada 1987 dan penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

“Rahsia-rahsia bagaimana Tengku Razaleigh (Ku Li) boleh kalah, yang selama ini belum pernah dikeluarkan dan sebab-sebab kenapa Anwar ditangkap, adakah kerana kes sodomi atau ada kes yang lain.

 

“Itu juga tak ramai orang tahu, bila Dr Mahathir menyembunyikan supaya korupsi yang dilakukannya itu disembunyikan… benda itu ditutup begitu saja, dan banyak benda-benda lain yang saya dedahkan tentang dia, kerana selama ini dia adalah hero saya,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.