Low Yat 2 Saingan Sihat Untuk Tingkat Ekonomi Bumiputera

KUANTAN – Cadangan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu mewujudkan pusat telekomunikasi ala Low Yatt di Bangunan Mara baru-baru ini, dilihat sebagai satu persaingan sihat dalam pengupayaan ekonomi Bumiputera.

 

Ketua Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim berkata, usaha pengupayaan ekonomi dalam kalangan Bumiputera perlu dilakukan bagi mengelak terus ketinggalan.

 

Menurutnya, ketidakseimbangan dan pemonopolian sesuatu industri yang sebenarnya tidak sihat kepada negara dan perkembangan, perpaduan sosial masyarakat berbilang kaum akan terencat.

 

“Justeru, langkah yang disuarakan menteri merupakan salah satu pendekatan baharu membantu bangsa Melayu dalam perniagaan,” katanya.

 

Muhammad Faiz juga tidak bersetuju dengan dakwaan Naib Presiden MCA, Datin Chew Mei Fun yang menyuarakan kebimbangan dan mengikut rentak media sosial dan mengetepikan hakikat rusuhan baru-baru ini tiada unsur perkauman.

 

“Tidak perlu wujud sentimen perkauman pun dalam usaha ini dan apatah lagi dasar seperti apartheid seperti yang beliau maksudkan,” katanya.

 

Di sebalik cadangan itu, Mei Fun menyarankan kepada Ismail Sabri agar menteri berkenaan mengadakan dialog khas menggalakkan komunikasi lebih baik antara kaum.

 

Ismail Sabri sebelum ini mengutarakan cadangan Plaza Low Yat 2 diwujudkan khas untuk peniaga Melayu sebagai sebuah pusat jualan dan borong alat telekomunikasi. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.