Ku Li Nafi Terlibat Guling Kerajaan, Akui Setia Bersama Najib

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menafikan yang beliau terlibat dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

 

Razaleigh bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada gerakan menggulingkan kerajaan seumpama itu benar-benar wujud pada saat ini.

 

“Mungkin ada, mungkin tidak ada…,” katanya kepada pemberita dalam majlis sambutan Aidilfitri Persatuan Anak Gua Musang di Taman Alam Sutera di sini hari ini.

 

Veteran Umno itu turut menegaskan tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang apabila terus diasak oleh pemberita berhubung dakwaan terbaru yang didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi pagi tadi.

 

“Taklah..sudah penat, dan saya tidak ada duit pun, saya perniagaan pun tiada,” katanya.

 

Ditanya lebih lanjut sama ada beliau masih menyokong kerajaan atau tidak, Razaleigh menegaskan beliau tidak ke mana-mana sebaliknya masih lagi berada dalam barisan kerajaan.

 

Beliau turut menegaskan masih menyokong siapa sahaja pemimpin yang masih berada pada landasan yang benar.

 

“Saya masih berada dalam barisan (BN), yalah saya tidak bersama dalam barisan pembangkang, tetapi saya harap kita semua lakukan benda yang betul, bercakap yang benar, terangkan kepada rakyat apa yang sepatutnya supaya rakyat tidak keliru,” katanya.

 

“Saya sokong siapa sahaja yang buat yang betul untuk rakyat,” katanya.

 

Terdahulu, Zahid berkata, wujud gerakan untuk menggulingkan kerajaan oleh pembangkang yang didalangi pemimpin Umno.

 

Beliau berkata, ada pemimpin yang cuba mendapatkan akuan bersumpah daripada Ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik anggota Parlimen Barisan Nasional menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui ‘jalan belakang’.

 

“Individu itu adalah pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang baru dibebaskan dan kini bekerjasama dengan 97 Ahli Parlimen pembangkang untuk menentang kerajaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.