KLIA2: Kerana Hutang, AirAsia Didakwa Sengaja Timbulkan Isu?

Sepang – AirAsia Berhad didakwa sengaja memperbesar-besarkan isu pemendapan tanah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur  2 (KLIA2) selepas memperolehi surat tuntutan hutang bernilai RM200 juta daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), baru-baru ini.

 

Menurut sumber yang menghubungi SuaraTV melalui email, surat tuntutan itu melibatkan pembayaran cukai dan perkhidmatan yang digunakan oleh syarikat penerbangan tambang murah itu di lapangan-lapangan terbang.

 

“AirAsia tiba-tiba sahaja menghebahkan isu tanah mendap selepas sahaja mendapat surat tuntutan itu, sebelum ini mengapa tidak bising?.

 

“Lagipun, AirAsia mempunyai banyak saluran untuk buat aduan tentang perkhidmatan di KLIA2 tetapi mengapa pilih media?,” tulis email tersebut, yang enggan mendedahkan identitinya.

 

Difahamkan tuntutan pembayaran itu melibatkan hutang lama syarikat tambang murah itu.

 

Sumber itu turut mempersoalkan tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes sambil menyifatkan ada perkara lain yang ingin disembunyikan.

 

“Berdasarkan kenyataan Tony melalui akaun twitternya, insiden yang melibatkan pesawat QZ (Indonesia) itu berlaku pada hari raya pertama iaitu pada 17 Julai jam 9.00 pagi, namun ia hanya dimaklumkan 3 hari selepas kejadian.Paling menghairankan apabila AirAsia turut tidak memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak MAHB?

 

” Malah DCA (Jabatan Penerbangan Awam) juga tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu sedangkan sebagai pengendali syarikat penerbangan, adalah menjadi tanggungjawab AirAsia untuk menghantar laporan berhubung sebarang kejadian dan kemalangan yang berlaku” ujarnya lagi.

 

Isu ini dibangkitkan apabila Tony mendakwa pesawat miliknya mengalami kerosakan ekoran mendapan yang berlaku di landasan lapangan terbang tersebut.

 

Tayar pesawat AirAsia

“Bagaimana mendapan tersebut hanya berlaku di landasan tersebut sedangkan pesawat lain milik AirAsia yang diletakkan di kawasan yang sama berada dalam keadaan yang baik.

 

“Sekiranya penghadang tayar pesawat diletakan dengan betul, perkara seperti ini tidak akan timbul. Ini kerana penghadang tersebut itu mampu menahan tayar pesawat dari bergerka walaupun berlaku sedikit mendapan” katanya lagi.

 

Awal bulan ini, syarikat penerbangan AirAsia menyaman MAHB sebanyak RM409 juta berikutan alasan kerugian dan kerosakan yang dialami ketika beroperasi di klia2 dan Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT).

 

Dalam tuntutan itu, MAHB juga didakwa AirAsia telah melanggar tanggungjawab dalam kontrak menyebabkan jenama dan reputasi syarikat penerbangan itu terjejas.

 

MAHB yang terkejut dengan tuntutan AirAsia itu kerana menyifatkan ia tidak ada asas untuk berbuat demikian dan sedang mendapatkan nasihat undang-undang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.