Keluarga ‘Sabrina Kekasih Lama’ Buat Laporan Polis

Kuala Lumpur – Tindakan individu yang mengubah nama asal pada sijil lahir seorang bayi perempuan baru dilahirkan, ‘Sabrina’ menimbulkan kemarahan ibu bapa bayi tersebut apabila gambar itu menjadi viral di media sosial dan disebarkan melalui aplikasi WhatsApp sejak petang kelmarin.

 

Susulan penyebaran gambar itu, ibu bapa bayi berkenaan membuat laporan polis ekoran nama anaknya itu diubah menjadi ‘Sabrina Kekasih Lama’, iaitu sebahagian daripada skrip filem ‘Tiga Abdul’ lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

 

Ketua Polis Malim, Inspektor Ahmad Hambali ketika dihubungi mengesahkan penerimaan laporan tersebut.

 

“Polis mengambil perkara ini dengan serius.

 

“Kami telah membuka kertas siasatan berikutan laporan itu dan ia akan dikendalikan oleh Jabatan Jenayah Komersial,” katanya.

 

Dalam laporan yang dibuat semalam, ibu kepada ‘Sabrina’ menyatakan bahawa sijil kelahiran anaknya itu dipegang suaminya pada 3 petang pada Khamis dan selain mereka berdua, tidak ada orang lain mempunyai akses kepadanya.

 

Dalam laporan itu juga, ibunya melahirkan rasa syak wasangka mengenai kemungkinan penglibatan ‘orang dalam’ dari Jabatan Pendaftaran Negara kerana mereka sahaja yang mempunyai akses kepada sijil kelahiran selain ibu bapa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.