Ditahan Lepas 7 Jam Kemalangan

Johor Bahru – Seorang pemandu bas kilang berusia 37 tahun ditahan polis dirumahnya, kira-kira tujuh jam selepas beliau melarikan diri setelah terlibat dalam kemalangan di Persiaran Pelangi Indah di sini, semalam.

 

Satu pasukan polis Daerah Johor Bharu Selatan menahan suspek di rumahnya di Taman Desa Cermerlang di sini, pada jam 4.30 petang, hari yang sama.

 

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, suspek lelaki berkenaan tidak melawan apabila didekati.

 

“Suspek kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah,” katanya hari ini.

 

Sulaiman berkata, polis akan menjalan siasatan terhadap suspek yang dikatakan melarikan diri dari tempat kejadian selepas bas kilang yang dipandunya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Persiaran Pelangi Indah.

 

“Kemalangan itu juga menyebabkan kematian seorang guru sekolah yang berusia 46 tahun,” tambah beliau lagi, pihak polis mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian di atas kecuaian memandu.

 

Dalam kejadian semalam, si mati Lim Guat Ngoh dari Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, yang juga seorang penumpang di dalam kereta Toyota Innova, terbunuh selepas pemandu bas dikatakan hilang kawalan.

 

Bas yang tiada penumpang dikatakan dalam perjalanan menuju ke Taman Pelangi Indah dan Taman Gaya kira-kira jam 9.45 pagi, sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Innova dan Perodua Alza yang menunggu lampu isyarat di seberang jalan.

 

Kedua-dua – bas dan kereta pacuan empat roda, Innova itu menjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter. Pemandu bas itu kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.