Burung Merpati Seludup Dadah

San Jose – Seekor burung merpati yang membawa dadah jenis ganja dan kokain ditangkap di luar sebuah penjara di Costa Rica, awal minggu ini.

 

Portal UPI melaporkan, burung merpati yang diberi nama NarcoPigeon oleh pihak berkuasa itu ditangkap pada Selasa lalu berdekatan Penjara La Reforma di San Rafael de Alajuela, yang merupakan penjara terbesar di Costa Rica.

 

Menurut Kementerian Kehakiman dan Keamanan Costa Rica, burung itu yang ditangkap oleh polis penjara didakwa membawa 14 gram ganja dan 14 gram kokain.

 

Kejadian itu merupakan yang pertama cubaan menyeludup dadah menggunakan burung di penjara berkenaan.

 

Pengarah Polis Penjara Costa Rica, Paul Bertozzi berkata, sebelum ini pihak bertanggungjawab menggunakan kucing untuk memindahkan dadah dari satu kawasan ke satu kawasan.

 

“Mereka sentiasa mencari cara baharu untuk menyeludup dadah dan kami terpaksa berada dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.

 

Burung berkenaan telah ditangkap dan dikurung sebelum dihantar ke tempat perlindungan haiwan.

 

Berita penangkapan burung merpati itu tersebar meluas dalam kalangan pengguna media sosial di Costa Rica yang mencetuskan pelbagai reaksi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.