Rafizi Fitnah Libatkan UMNO Dalam Isu Hutang Khalid

Kuala Lumpur – Dakwaan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengenai wujudnya penyelewengan dalam isu penyelesaian hutang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Bank Islam disifatkan sebagai fitnah apabila mengaitkannya dengan UMNO.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata isu penyelesaian luar mahkamah dalam kes berkenaan langsung tiada kaitan dengan penyelewengan mahupun perjanjian ‘bawah meja’.

 

Babit dua isu besar

Sebaliknya, beliau berkata, kes itu membabitkan dua isu besar iaitu perselisihan mengenai isu syariah yang menyentuh kontrak Bai al-Inah dan kaedah pelaksanaannya termasuk isu saling mengikat dan dokumen yang ditandatangani awal.

Keduanya adalah berkaitan dengan keabsahan Akta Bank Negara 2009 khususnya membabitkan kedudukan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara yang terkait dengan isu Perlembagaan iaitu pemisahan kuasa antara badan kehakiman, eksekutif dan legislatif..

“Kes Bank Islam dengan Khalid amat dekat dengan saya kerana pembabitan saya secara aktif dalam industri kewangan Islam. Saya sendiri pernah ditawarkan menjadi saksi pakar bagi Bank Islam pada 2009 sebelum Akta Bank Negara 2009 dipinda yang memberi kuasa kepada MPS Bank Negara selaku badan tertinggi dan pemutus dalam hal ehwal syariah yang menyentuh institusi kewangan termasuk perbankan dan takaful.

“Mengikut akta ini, pandangan pakar luar tidak lagi diperlukan kerana mahkamah harus terus merujuk kepada MPS Bank Negara,” katanya menerusi Facebook peribadinya.

Sebelum ini, Rafizi mendesak Khalid mendedahkan secara terbuka terma perjanjiannya dengan Bank Islam yang membolehkan beliau tidak perlu membayar hutang sejumlah RM70 juta.

Rafizi dilaporkan berkata, tindakan itu dapat membersihkan nama Khalid, sekali gus mematikan sebarang keraguan terhadap integritinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.