Pertempuran Di Gaza Tercetus Lagi

Kaherah – Ancaman peperangan baharu semakin meruncing semalam menjelang berakhirnya gencatan senjata tiga hari antara Israel dan Palestin.

Situasi itu berlaku ketika rundingan damai tidak langsung melibatkan kedua-dua pihak di sini masih belum membuahkan hasil.

Pasukan perunding Israel kembali ke Mesir semalam untuk mencari jalan penyelesaian konflik yang telah berlarutan selama beberapa bulan dan meragut nyawa 1,945 penduduk di Genting Gaza serta 67 orang di Israel.

Gencatan senjata antara kedua-dua belah pihak dijadualkan berakhir pukul 4 pagi ini (waktu Malaysia).

Hamas yang menguasai Gaza dan beberapa sekutunya mahu sekatan oleh Israel serta Mesir ditarik balik sebagai antara syarat perdamaian.

Namun, rejim Zionis dan Kaherah dilihat sukar meluluskan permintaan itu dengan alasan keselamatan.

Setakat semalam, perunding Israel dan Palestin enggan mendedahkan sama ada persetujuan jangka panjang bagi menamatkan perang di Gaza dapat dicapai.

Sumber Kedutaan Palestin bagaimanapun memberitahu bahawa rundingan damai itu masih berterusan manakala delegasi Palestin akan mengadakan lebih banyak rundingan bersama pengantara Mesir.

Kelmarin, pemimpin Hamas di sini, Moussa Abu Marzouk menyifatkan rundingan itu sebagai sukar manakala seorang pegawai Israel memberitahu bahawa belum ada kemajuan yang dicapai.

Selain menamatkan sekatan, Hamas turut mahu sebuah pelabuhan laut di Gaza dibuka.

Israel enggan untuk menamatkan sekatan ekonomi ke atas Gaza kerana mengesyaki Hamas akan membawa masuk senjata dari luar negara.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon kelmarin mengarahkan tentera Israel bersiap sedia untuk kemungkinan bertempur semula selepas tempoh gencatan senjata 72 jam itu tamat.

“Pertempuran mungkin tercetus semula dan kami (Israel) mungkin akan melepaskan tembakan ke arah mereka (pejuang Palestin),” kata Yaalon.

Rejim Zionis mula menyerang Gaza pada 8 Julai lalu untuk menamatkan serangan roket dari wilayah Palestin itu daripada terus mengenai Israel.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.