Pelajar Kolej Vokasional Dikurung, Dipukul

Besut  – Seorang pelajar lelaki dari Kolej Vokasional Besut mendakwa dikurung empat lelaki yang dikenalinya di sebuah rumah di kawasan perumahan di Bandar Jerteh pada Isnin lalu.

Semasa dikurung, mangsa yang berumur 16 tahun dan berasal dari Kampung Pengkalan Nangka, Kuala Besut mendakwa telah digari kedua-dua belah tangannya sebelum dipukul dengan kayu pemukul bola besbol di kaki, perut dan tengkuk hingga cedera.

Mengikut laporan yang dibuatnya kepada pihak polis, mangsa berkata, dia dilarikan dengan kereta ketika berada di sebuah kedai di Jerteh dan telah dikurung selama tiga jam dari pukul 9 malam.

Seorang suspek menuduhnya bertanggungjawab melarikan adik perempuannya yang lari dari rumah sebelum itu.

Remaja tersebut ditinggalkan di Kampung Gong Manok, Kuala Besut lewat tengah malam sebelum diambil ibunya.

Dia kemudiannya dihantar ke Hospital Besut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd. Noor memberitahu, pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada mangsa.

Keempat-empat suspek telah dikenal pasti, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.