PAS Lambat: Kenduri Sudah Habis, Pengantin Sudah Masuk Bilik – Mat Taib

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengecam PAS yang lambat membuat keputusan dalam krisis menteri besar Selangor, ketika Umno sendiri sudah menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Muhammad yang juga ahli PAS berkata, parti Islam itu perlu membuat keputusan segera dengan mengambil kira realiti keadaan semasa dalam krisis di Selangor.

“Mereka lambat, kenduri sudah habis, pengantin sudah masuk bilik.

“Buat keputusan lambat-lambat, apa ini? Kita kena ambil realiti hari ini, tidak perlu tunggu 17 Ogos, kita kena fokus apa yang berlaku hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau juga mempersoalkan PAS yang melengah-lengahkan keputusan membabitkan isu di Selangor, walaupun selepas 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyatakan pendirian menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar.

“Saya fikir mereka lambat dan sudah ketinggalan. Sudah ada 30 yang menyokong,” katanya yang juga dikenali sebagai Mat Taib.

Muhammad juga menyifatkan tindakan 12 Adun Barisan Nasional menyokong Khalid, seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari, satu kesilapan besar buat PAS.

“Ini faktor beliau (Khalid) perlu dibuang keluar daripada Selangor, ia satu kesalahan yang serius apabila mendapat sokongan Umno,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak perlu dibiarkan dan sewajarnya mendapat pertimbangan segera daripada PAS khususnya yang masih tidak menyatakan pendirian.

“Itu kesalahan yang besar daripada segala-galanya, kenapa biarkan? Bila disokong Umno menunjukkan Khalid boleh jadi alat kepada Umno,” katanya.

Beliau juga mengingatkan Pakatan Rakyat (PR), khususnya PAS, supaya bangun daripada tidur dan membuat keputusan segera.

“Saya fikir PR perlu jaga daripada tidur saja, perlu bangun dan kembali tadbir Selangor.

“Rakyat Selangor sudah mula bosan dengan tindakan kebudak-budakan,” katanya.

Tindakan 30 Adun menyokong Dr Wan Azizah semalam juga menunjukkan tiada alasan untuk PAS masih menyokong Khalid.

“Mereka (PR) sudah dapat 30 majoriti Adun, apa lagi alasan? Tidak ada alasan yang hendak dicari lagi, mereka sudah ada nombor dan perlu hormat mandat rakyat,” katanya.

Muhammad sebelum ini mengkritik kedegilan Khalid yang enggan meletak jawatan kerana sudah dipecat partinya, PKR sendiri.

Beliau berkata, Khalid perlu letak jawatan walaupun menerima sokongan daripada PAS.

Kemelut di Selangor semakin meruncing selepas Khalid mengambil langkah drastik memecat 6 ahli mesyuarat kerajaan negeri (exco) Selangor daripada PKR dan DAP, serta menegaskan beliau masih MB yang sah selepas mendapat perkenan Sultan Selangor.

Susulan perkembangan tersebut, PKR dan DAP mendesak PAS menyatakan pendirian mereka dengan segera tanpa perlu menunggu mesyuarat Ahad ini.

Namun, semalam dua Adun PAS menyatakan sokongan secara terbuka kepada Dr Wan Azizah serta kesediaan berdepan tindakan daripada parti Islam tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.