Laporan Kotak Hitam MH17 Diumumkan Awal September

Kampar – Laporan awal data kotak hitam pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine 17 Julai lalu dijangka diumumkan pasukan siasatan antarabangsa diketuai Belanda pada awal September ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pasukan siasatan antarabangsa telah membuat laporan dan akan menyerahkannya kepada negara-negara berkaitan.

Pasukan siasatan masih menjalankan siasatan di tapak lokasi nahas dan tidak boleh mendedahkan kandungannya buat masa ini, katanya.

Liow berkata pasukan siasatan telah memperoleh suara rakaman daripada kokpit serta kandungan data penerbangan selain mengadakan mesyuarat mengenai laporan awal kotak hitam.

“Semua rakaman daripada kotak hitam itu sempurna, tidak dirosakkan, tidak dicemari dan boleh dibaca dengan jelas,” katanya.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.