Harapan Tinggi Khairy Pada Rashid

Kota Bharu –  Sasaran negara meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, diharap akan tercapai dengan kesediaan Rashid Sidek meneruskan khidmatnya sebagai ketua jurulatih perseorangan negara.

Ini kerana, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, kejayaan Datuk Lee Chong Wei banyak bergantung kepada Rashid sebagai jurulatihnya.

“Saya telah bercakap dengan beliau (Rashid) melalui perbualan telefon, beliau ada sebut akan berkhidmat sehingga kontrak tamat akhir tahun ini,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kota Bharu, pada Jumaat.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO mengulas hubungan dingin antara Rashid dengan pucuk pimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dibimbangi boleh menjejaskan persiapan skuad kebangsaan ke dua kejohanan itu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan hubungan dingin Rashid dan Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff turut menyebabkan dia diketepikan daripada skuad ke Kejohanan Dunia mulai 25 hingga 31 Ogos ini, dan tempatnya akan diisi jurulatih pelapis, Hendrawan, biarpun anak didik jurulatih kelahiran Indonesia itu tiada dalam skuad ke Copenhagen.

“Kita tak nak persiapan dan mental Lee Chong Wei terganggu, kerana jurulatih ada masalah. Saya maklumkan kepada Rashid dan Lee Chong Wei sila teruskan latihan,” kata Khairy.

Beliau telah meminta Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria meleraikan kekusutan masalah antara pucuk pimpinan persatuan itu dengan Rashid.

Mengenai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang meletakkan sasaran suku akhir untuk skuad bola sepak negara, sekiranya mahu perbelanjaan mereka ke Sukan Asia di Incheon itu dipulangkan sepenuhnya oleh MOM, Khairy berkata, pandangan MOM itu ada rasionalnya untuk mereka berusaha mencapai kejayaan.

“Kalau tidak letak sasaran yang tinggi, pasukan bola sepak merasakan kehadiran di Sukan Asia memadai sekadar penyertaan dan kita kena letak syarat, kalau tidak mencapai sasaran, kos untuk sukan ini ditanggung oleh mereka, ini satu perubahan dan harapan baru,” katanya.

Sukan Asia ke-17 di Incheon akan berlangsung dari 19 September sehingga 4 Oktober ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.