Hanya Kesalahan Pentadbiran, Tak Akan Dipecat

Selangor – Tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi menteri besar hanya kesalahan pentadbiran sahaja, kata bekas ahli Jawatankuasa Disiplin PAS, Ahmad Awang.

Ia bukan kesalahan besar dan tidak akan menyebabkan mereka dipecat, kata Ahmad yang juga bekas anggota Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS.

“Ia lebih kecil berbanding kesilapan Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencadangkan PAS bergabung dengan semua pihak termasuk Umno dalam kerajaan konsensus nasional di Selangor, yang juga belum dibuat keputusan oleh parti,” katanya.

Bekas naib presiden PAS itu mengulas tindakan PAS Selangor meminta kedua-duanya menarik balik surat sokongan kepada Dr Wan Azizah untuk menjadi menteri besar.

Setiausaha PAS negeri Mohd Khairuddin Othman berkata, sekiranya kedua-dua Adun berkenaan – Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) – enggan berbuat demikian, mereka bakal berdepan dengan tindakan disiplin.

“PAS Selangor memandang serius tindakan dua Adun PAS ini yang mengambil pendirian dan bersikap bersendiri tanpa menurut tatacara serta arahan ditetapkan parti.

“Saya nasihati kedua-dua Adun ini menarik balik tindakan (menyokong Dr Wan Azizah) atau PAS Selangor akan memulakan tindakan disiplin termasuk melihat kepada kandungan bai’ah (janji) yang dilafazkan sewaktu mereka menjadi calon (Adun),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagi Ahmad, PAS perlu merujuk kepada kes terdahulu sebelum mengambil tindakan.

Antaranya, apabila PAS memutuskan keluar daripada Barisan Nasional tetapi ada pemimpin PAS ketika itu, termasuk Datuk Mohamad Nasir, enggan berbuat demikian.

“Hasilnya PAS memutuskan memecat beliau kerana kita jelas membuat arahan keluar tetapi dia mahu kekal,” katanya.

Dalam kes dua Adun itu Ahmad berkata, calon yang mereka sokong adalah ahli Pakatan Rakyat (PR), cuma parti yang masih belum membuat keputusan rasmi sama ada mahu menyokong atau tidak.

“Jadi, kalau tindakan hendak diambil pun, saya rasa hanya amaran sahaja atau paling tinggi pun, gantung (keahlian) dua tiga bulan sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak dalam PAS tidak membuat hukuman sendiri dan menyatakan seolah-olah mereka berdua ini melakukan kesalahan besar sehingga boleh dipecat.

“Misalnya, ada pihak menyebarkan kenyataan kononnya kedua-dua mereka melanggar baiah kepada parti. Itu tidak tepat,” kata beliau yang menjadi ahli Majlis Syura lebih 10 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.