KUALA LUMPUR- Pemuda PKR menafikan wujudnya masalah dalaman antara sayap itu dengan Pemuda Umno selepas kedua-dua pergerakan itu dilihat sering berbeza pendapat dan berbalas kenyataan berhubung isu politik negara.
Ketua Pemuda PKR, Adam Adli Abd Halim berkata ia adalah perkara biasa apabila berlaku perbezaan pandangan dalam politik, lapor Bernama.
“Tidak ada masalah… itu perkara biasa,” katanya selepas menghadiri program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) Peringkat Negeri Pahang 2024 di Kuantan.
Adam berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pemuda PKR dan Pemuda Umno berbalas kenyataan selepas PRK Sungai Bakap pada 6 Jun lepas.
Terbaru semalam, Adam mengkritik Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang mempersoalkan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak mengosongkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah dengan menyokong kerajaan
Adam berkata Akmal gagal memahami isu secara mendalam dan sepatutnya merujuk terlebih dahulu pandangan, maklumat, dan fakta, serta pendirian bersama kerajaan perpaduan sebelum membuat kritikan.
Akmal dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat menyifatkan akta antilompat parti diluluskan di Parlimen dua tahun lalu sia-sia selepas wakil rakyat berpaling tadah tidak hilang kerusi.
Beliau juga mahu hak rakyat yang tidak mahu wujud lagi ‘katak politik’ dihormati.