Chef Viral ‘Rendang Crispy’ Pulang Ke Malaysia

PETALING JAYA – Lebih tiga bulan selepas kontroversi ‘rendang crispy’, bekas peserta MasterChef UK Zaleha Kadir Olpin masih diiktiraf sebagai ‘wanita rendang’.

“Rakan-rakan beritahu saya amat terkenal di Malaysia. Saya rasa ia sesuatu yang lucu.

“Saya menghadiri Kongres & Ekspo Worldchef di Kuala Lumpur pada Jumaat dan orang ramai mengenali saya!,” kata Zaleha sambil tertawa ketika dihubungi.

Rakyat Malaysia berusia 49 tahun itu yang juga menetap di Bristol di barat daya England, kembali ke tanah air untuk bercuti selama empat minggu bersama suami dan juga dua anaknya.

Pada April lalu, nama Zaleha menjadi sebutan apabila hidangannya tidak disukai salah seorang juri program MasterChef UK kerana ayamnya tidak cukup rangup.

Insiden itu menjadi tular dan menyebabkan rakyat Malaysia termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad ‘bersatu’ mempertahankan Zaleha di media sosial.

“Mungkin anda keliru ayam rendang dengan KFC?,” tulis Dr Mahathir di Twitternya.

““Mana ada orang makan rendang ayam ‘crispy’?,” kata Najib.

Mengimbau kembali episod itu, Zaleha berkata amat malang komen pedas itu menimbulkan kekecohan kerana kedua-dua juri John Torode dan Gregg Wallace amat baik.

“Torode sebenarnya mempunyai pengetahuan luas mengenai makanan Asia. Dia juga pernah berkunjung ke Malaysia dua tahun lalu,” katanya.

Namun, pengaruh terbesar dalam kemahiran memasak hidangan Malaysia adalah melalui ibunya.

“Saya tidak banyak memasak semasa berada di Malaysia kerana amat mudah untuk mendapatkan makanan yang baik di sini.

“Namun sejak saya berpindah ke Australia pada 2003, saya terpaksa memasak lebih kerap,” katanya.

Malah ibu kepada dua anak itu berkata dia terpaksa membayar bil telefon yang tinggi gara-gara menghubungi ibunya untuk mendapatkan tips dalam masakan.

Ketika meningkat dewasa, Zaleha dana adik-beradiknya sering didedahkan kepada aroma masakan dan hidangan yang enak kerana bapanya menguruskan sebuah restoran dan ibunya gemar memasak.

“Menjadi rakyat Malaysia, ibu bapa saya mahu memastikan kami tahu cara memasak. Ibu saya percaya tidak kira betapa tinggi pelajaran kita, anda perlu belajar cara memasak,” katanya.

Zaleha akan bertemu dengan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Vicki Treadell pada Rabu ini.

“Saya akan memasak rendang tak crispy dengannya di kampung saya di Kuantan,” kata Zaleha dalam nada berseloroh. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.