Petisyen Tolak Fattah Amin Lakon Watak Utama Drama

KUALA LUMPUR — Penentang Fattah Amin membantah pelakon itu membawa watak utama drama bikinan semula Korea Selatan, Coffee Prince.

Pelakon popular itu diura-ura membawa watak lakonan Gong Yoo, yang diminati ramai, dalam drama edisi tempatan berasaskan karya tersebut, lapor Harian Metro.

Berkempen melalui petisyen di internet, mereka yang menentang Fattah mendakwa pelakon itu masih lagi “kayu” ketika memegang sesuatu watak.

“Sila beri watak utama kepada pelakon lelaki selain Fattah Amin,” tulis pengendali petisyen terbabit, yang baru mendapat 121 sokongan, sejak kelmarin.

“Kami tiada masalah dengan Janna Nick, kami hanya tidak mahu Fattah Amin melakonkan watak Gong Yoo.”

Mereka, yang mendakwa penyokong filem dan drama tempatan, membantah Cube Film Sdn Bhd mengambil Fattah berlakon drama Coffee Prince.

Saluran Melayu Astro dilaporkan masih lagi meneliti pelakon yang bakal membawa watak tersebut “kepada seseorang yang paling layak.”

Ketuanya Raqim Ahmad bagaimanapun menegur peminat agar lebih terbuka dan memberi peluang yang adil untuk pelakon membuktikan bakat mereka.

Sementara pengarah Michael Ang enggan mengulas isu tersebut walau mengesahkan Janna Nick antara yang terlibat dalam drama itu.

Mula ditayangkan pada 2007, Coffee Prince muncul antara drama Korea Selatan yang popular di Malaysia. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.