PAS Mahu Tanding Semua Kerusi DUN, Parlimen Di Kedah

ALOR SETAR – PAS Kedah hari ini mengumumkan kesediaan untuk bertanding di semua 15 kerusi Parlimen dan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kesediaan itu diumumkan Pesuruhjaya PAS, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi, susulan keputusan parti untuk bergerak secara silo selepas memutuskan tahaluf siyasi dengan pakatan pembangkang.

Beliau berkata, menjadi tradisi PAS untuk meletakkan calon di kerusi majoriti Melayu, namun pada PRU-14 ini PAS cuba meneroka kerusi majoriti 60 peratus Melayu atau meletakkan calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di kerusi yang berpotensi.

“PAS Kedah berpendirian bahawa sudah tiba masanya jentera pilihan raya PAS merintis semula kerusi DUN dan Parlimen yang ditandingi rakan parti politik PAS suatu ketika dahulu supaya persediaan yang dibuat dapat meyakinkan rakyat bahawa PAS adalah sebaiknya pilihan mereka.

“Bagaimanapun keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi PAS Kedah, tertakluk kepada kehendak PAS Pusat berasaskan kajian yang sedang dilaksanakan pihak berkenaan dengan mengambil kira kewujudan blok Gagasan Sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Rumah Terbuka PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, di sini.

Dalam PRU-13 lalu, PAS bertanding di 24 kerusi DUN di Kedah, mengekalkan bilangan kerusi yang ditandingi pada PRU-12, selain lapan kerusi Parlimen. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.