Lelaki Tunjuk Isyarat Lucah Dan Ugut Mahu Langgar Wanita Dalam Pantang

Melaka – Seorang wanita yang masih dalam pantang mendakwa dia cuba dilanggar seorang lelaki tidak dikenali yang memandu Perodua Kancil ketika berlaku perang mulut akibat salah faham di sebuah taman perumahan di Batang Tiga, di sini, Selasa lalu.

Kejadian jam 1.30 pagi itu dikatakan berlaku apabila lelaki terbabit tidak berpuas hati selepas ditegur mangsa kerana menekan minyak dengan kuat berkali-kali hingga menyebabkan bunyi bising.

Difahamkan, terdahulu sebelum kejadian, lelaki itu berhenti berhampiran rumah mangsa dan membuat bising hingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk berhampiran.

Mangsa dikatakan menegur lelaki itu kerana perbuatan terbabit menyebabkan bayinya terjaga daripada tidur lalu menangis.

Namun lelaki terbabit berang selepas ditegur menyebabkan keadaan menjadi tegang.

Menerusi video yang tular di laman sosial Facebook (FB), lelaki terbabit turut menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

Menerusi video sama, turut kedengaran lelaki itu berkata, dia mahu melanggar mangsa yang turut dituduh sebagai punca sebenar ketegangan berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Azfanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

“Hasil laporan dibuat, kami menahan suspek yang berusia 24 tahun di sebuah rumah di Pulau Gadong jam 10.50 malam, Rabu lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 337/506 dan kami masih mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.