Keunikan Rumah Terbuka Di Parit

PARIT – Sudah menjadi kelaziman di Malaysia apabila setiap kali perayaan, ramai berlumba-lumba untuk mengadakan rumah terbuka bagi meraikan perayaan.

Di parit juga tidak terkecuali dan lebih unik lagi kerana rumah terbuka di sini berkoloborasi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Program rumah terbuka ini dianjurkan penduduk Kampung Baru, Parit dan ikatan Kamparputra Malaysia (IKMAL).

Bukan hanya menyajikan makanan yang sinonim dengan perayaan Aidilfitri, malah, turut diadakan pameran kenderaan tempur tentera darat.

Menurut penganjur, Datuk Akmar Hisham Mokhles, rumah terbuka ini dilakukan bagi mengukuhkan hubungan silaturahim masyarakat setempat.

“Pelbagai acara diatur seperti pameran mengenai tokoh masyarakat kampar yang terkenal dinegara ini antaranya Tok Gajah, Datuk Bahaman , Datuk Sagor dan penyanyi terkenal, Sudirman,”katanya.

Dalam pada itu, sambutan rumah terbuka ini juga turut membantu mempromosikan bidang ketenteraan.

“Kita dapat berganding bahu mempromosikan bidang ketenteraan sebab bila majlis hari raya kita lebih fokus untuk mengeratkan hubungan silaturrahim, tapi kali ini kita nak ajar orang Kampar ini untuk minat ketenteraan.

“Ini cara kita nak galakkan mereka, ambil lebih tahu pasal bidang ketenteraan dan menyertai bidang ketenteraan,”ujarnya.

Manakala, menurut Brig Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar, program seperti ini nyata merupakan antara langkah mereka dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Sebab kami turut serta adalah untuk mempamerkan aset-aset ketenteraan yang kami ada dan juga melaksanakan tanggujawab kami kepada masyarakat.

“Saya secara peribadi mementingkan asal usul ketaatsetiaan dan siapa kita sebenarnya dan faktor ini kalau dicampurkan akan menzahirkan masyarakat yang lebih jitu dan anak muda yang lebih memahami siapa mereka, katanya.

Dalam pada itu, beberapa aktiviti lain turut diadakan antaranya rawatan kesihatan dan pergigian percuma, derma darah dan pamerah rejimen askar wataniah.

Lebih teruja apabila penganjur menyediakan 50 hadiah bernilai RM 10 ribu termasuk 3 buah telefon pintar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menyumbangkan buah tangan kepada peserta yang mendaftar di kaunter pendaftaran.

Dalam Majlis tersebut turut hadir, Presiden Ikmal, Mejar Jeneral (B), Datuk Amir Guntur turut menyerikan majlis tersebut.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.