Kertas Siasatan Pegawai Khas ADUN Cabul Pelayan Wanita Hampir Siap – Polis

GEORGE TOWN – Kertas siasatan berhubung kes seorang pegawai khas kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang yang didakwa mencabul seorang pelayan di sebuah pusat hiburan di sini hampir siap.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Isnin ini.

“Polis mengambil beberapa tindakan dalam siasatan itu…beberapa barang yang dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan telah diperoleh antaranya baju serta seluar yang dipakai mangsa semasa insiden itu,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang pelajar wanita sebuah kolej swasta di negeri ini berusia 21 tahun mendakwa dicabul pembantu khas seorang ADUN di kawasan tempat letak kereta di luar sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai, 6 Julai lepas.

Berikutan itu, polis merekod keterangan pelajar wanita yang bekerja secara sambilan sebagai pelayan di pusat hiburan berkenaan dan menahan lelaki berusia 40-an terbabit pada Khamis lepas bagi membantu siasatan. 

Anuar berkata mangsa juga telah menjalani proses kawad cam ke atas suspek yang didakwa mencabulnya dan hasilnya adalah positif.

Katanya polis turut merakamkan keterangan saksi-saksi kejadian termasuk anggota keluarga mangsa bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kami turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di kawasan kejadian untuk dianalisis dan berdasarkan rakaman memang terdapat pergerakan suspek bersama mangsa di situ,” katanya.

Dalam pada itu, lelaki berusia 40-an yang juga ketua cawangan sebuah parti di Pulau Pinang telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat hari ini, katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.