Angkasa Cadang Labur RM15 Juta Jadikan MAAR Langkawi Pusat Latihan Koperasi Antarabangsa

ANGKAWI – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bercadang melabur sehingga RM15 juta untuk menaik taraf MyAngkasa Academy and Resort (MAAR) miliknya di sini sebagai sebuah pusat latihan koperasi bertaraf antarabangsa menjelang 2020.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata Angkasa akan memanfaatkan hubungan eratnya dengan beberapa buah koperasi dari luar negara dalam usaha untuk mencapai hasrat ini.

“Kita memang sudah mempunyai beberapa kolaborasi dengan koperasi-koperasi dari luar negara, khususnya dalam kalangan negara ASEAN, dan ini boleh menjadi asas untuk mewujudkan pusat latihan koperasi ini,” katanya kepada media selepas menghadiri sambutan Hari Raya Angkasa di sini malam tadi.

Menurutnya rancangan menaik taraf MAAR ini sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan di Langkawi. dan sekiranya diluluskan dalam tempoh terdekat ini, kerja-kerja asas dijangka bermula sebelum akhir tahun.

“Kami juga mencadangkan MAAR menawarkan kursus dalam bidang perhotelan dan hospitaliti, dan untuk itu, kami akan memohon pengiktirafan SKM (Sijil Kemahiran Malaysia), daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi membolehkan kursus ini diktiraf,” katanya.

Abdul Fattah berkata premis MAAR yang terletak di Chandek Kura di sini, diperoleh pada 2010 dan mula beroperasi sejak 2012 sebagai pusat latihan dan rekreasi Angkasa.

“Kini kami  sudah ada 58 bilik, dan menerusi  tambahan blok baharu tujuh tingkat (di bawah perancangan baharu), kita bercadang untuk (menambahkan) 100 bilik lagi,” katanya.

Beliau berkata peningkatan minat pelancong dari China, khususnya dalamalangan mereka yang beragama Islam, untuk datang ke Langkawi, akan dimanfaatkan menerusi penyediaan perkhidmatan dan kemudahan penginapan yang menepati citarasa mereka.  

Menurutnya rancangan menaik taraf  MAAR ini juga dijangka dapat memperluaskan lagi peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan di sini selain menjadi pusat untuk memacukan lagi perkembangan gerakan koperasi negara.

“Bila sudah siap nanti, MAAR akan menjadi mercu tanda baharu bagi gerakan koperasi khususnya di Langkawi,” katanya – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.