5,000 Orang Meriahkan Pelancaran Negaraku Sehati Sejiwa Di Perak

IPOH – Lebih 5,000 orang membanjiri Bulatan Amanjaya di sini bagi memeriahkan majlis pelancaran Negaraku Sehati Sejiwa peringkat negeri Perak di sini, malam tadi.

Program yang bermula sejak pukul 10 pagi itu, dipenuhi dengan pelbagai pengisian acara antaranya Ziarah Kasih, pameran Negaraku oleh agensi kerajaan, grafiti Negaraku, pertandingan mewarna dan ceramah.

Hadir bagi merasmikan majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Saarani Mohamad yang mewakili Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam ucapannya beliau menggesa agar semua rakyat Malaysia bersatu padu dan berdiri teguh mempertahankan Jalur Gemilang dan kedaulatan negara dengan mengetepikan segala perbezaan termasuk agama, bangsa dan ideologi politik.

“Kita rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan nikmat kebebasan, keamanan serta perpaduan yang kita kecapi selama ini, jangan disebabkan mempunyai perbezaan agama, bangsa mahupun politik kita biarkan nikmat itu hilang dan terancam.

“Saya juga berharap, Jalur Gemilang itu tidak hanya dipandang sebagai sehelai kain semata, zahirkan kebanggaan terhadap negara kita dengan kibarkannya sentiasa, bukan hanya pada bulan Ogos tetapi setiap masa,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani mengingatkan orang ramai supaya tidak menabur fitnah tentang negara sendiri kerana ia hanya akan menjadi punca kedaulatan negara dan sosioekonomi negara terganggu.

Pada majlis itu, beliau turut melakukan simbolik pelepasan Konvoi Kembara Jalur Gemilang yang bakal mengelilingi seluruh daerah di Perak bersempena sambutan kemerdekaan bulan depan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.