2 Kereta Rosak Tanah Mendap Di Taman Midah, Cheras

KUALA LUMPUR – Penduduk Flat Midah Ria, Taman Midah Cheras, di sini cemas selepas dikejutkan dengan kejadian tanah mendap berhampiran parkir blok kediaman mereka awal pagi ini.

Kejadian pada kira-kira jam 5pagi itu turut mengakibatkan dua buah kereta yang di parkir jatuh ke dalam longkang besar yang terletak hampir 100 meter dari blok kediaman itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 6.45 pagi dan tiba di lokasi kejadian 15 minit selepas itu.

“Hasil tinjauan mendapati saliran air pecah dalam tanah mengakibatkan ia mendap dan terhakis. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya, lapor Bernama.

Pemilik kenderaan Wan Fatimah Wan Long, 28, berkata beliau terperanjat melihat kereta Honda Jazz miliknya berada dalam longkang selepas menerima panggilan telefon daripada pengawal keselamatan kira-kira 5.30 pagi tadi.

Jururawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, ketika kejadian terdapat kira-kira lima kenderaan diletakkan di tempat parkir itu bagaimanapun tiga daripadanya tidak terjejas dan sempat dialihkan, manakala sebuah lagi kereta rosak di bahagian belakang dan bawah.

“Saya terima panggilan daripada pengawal keselamatan dan rakan juga telefon suruh saya turun tengok keadaan kereta. Bila saya turun kereta memang sudah teruk,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.