Doktor Tambahan Bantu Kekang Penularan Wabak Rabies

SERIAN – Enam doktor tambahan dari Semenanjung, yang akan membantu proses pemvaksinan bagi mengekang penularan wabak Rabies atau penyakit anjing gila, dijangka tiba di negeri ini minggu depan kata Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Dr Adrian Susin Ambud.

Beliau berkata dengan kehadiran doktor tambahan itu,pihaknya boleh mewujudkan enam pasukan dengan setiap pasukan mengandungi seorang doktor dan dua pembantu.

“Ketika ini doktor serta kakitangan JPVS dari beberapa daerah negeri ini berada di sini untuk membantu,” katanya, lapor Bernama.

Selain Pejabat Majlis Daerah Serian, kempen dua hari itu yang bermula dari 10 pagi hingga 4 petang,  turut diadakan di Balai Babuk Gawing, Dewan Masyarakat Serian dan Pejabat Veterinar Serian.

Tinjauan Bernama mendapati masyarakat sekitar Serian mula memenuhi lokasi terbabit seawal 9 pagi tadi.

Dr Adrian berkata beliau berpuas hati dengan sambutan diberi penduduk sekitar yang datang untuk mendapatkan vaksin untuk haiwan peliharaan mereka iaitu kucing dan anjing.

“Sambutan sangat menggalakkan kita boleh lihat kesedaran tinggi ditunjukkan untuk membantu menyekat penularan wabak rabies ini,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan sehingga petang tadi, JPVS telah memvaksinkan 3,785 ekor haiwan kesayangan berbanding  2,801 ekor setakat semalam.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 952 ekor anjing, 2,810 kucing dan 23 haiwan lain telah diberi suntikan vaksin.

Secara kumulatif  dari 1 April hingga 15 Julai, aktiviti pengesanan kes secara aktif  mengesan sebanyak 290 kes gigitan anjing dalam kawasan 10 km dari kawasan wabak di Bahagian Serian.

“Sebanyak 66 daripada 290 kes gigitan merupakan kes gigitan baru dari tempoh 2 Julai sehingga 15 Julai 2017 (dengan 14 kes gigitan anjing baru dikesan hari ini) dan sebanyak 229 kes telah diberi vaksin.

“Pasukan kesihatan sedang berusaha mengesan kes-kes yang belum datang ke Hospital Serian untuk mendapatkan suntikan vaksin,” kenyataan sekretariat itu.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.