Tiada Pelajar Malaysia Jadi Mangsa Serangan Trak Di Perancis

PETALING JAYA – Persatuan Pelajar Malaysia di Perancis berkata tiada pelajar tempatan menjadi mangsa dalam serangan maut pengganas di Nice.

 

Persatuan itu mengesahkan perkara itu dalam catatan di laman Facebook MASAFrance, selepas berlakunya serangan pembunuhan beramai-ramai pada malam Khamis menyebabkan sekurang-kurangnya 80 orang maut.

 

“Kami, para pelajar Malaysia di Perancis, benar-benar terkejut mengetahui tentang serangan terbaru di Nice pada Hari Bastille.

 

“Kami mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa. Dapat dikatakan bahawa tidak ada pelajar Malaysia telah cedera semasa kejadian ini,” menurut posting tersebut.

 

Kementerian Luar masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi sama ada terdapat mana-mana rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam tragedi itu.

 

Sambutan Hari Bastille di bandar Nice, Perancis berakhir dengan peristiwa berdarah dan air mata apabila sebuah trak putih yang besar merempuh ke arah orang ramai yang berkumpul di Promenade des Anglais untuk melihat pertunjukan bunga api.

 

Pegawai-pegawai tempatan menemui senjata api dan bom tangan di dalam trak, dengan saksi melaporkan berlakunya aksi berbalas tembakan sebelum pemandu trak itu ditembak mati oleh polis. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.