PAS Bakal Hilang Kelantan Jika Bersendirian, Kata Mahfuz Omar

PUTRAJAYA – Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS bakal terkubur sekiranya parti Islam itu bertegas mahu bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

 

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berpendapat, PAS perlu memutuskan sama ada mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau bersama Barisan Nasional (BN) supaya mereka dapat terus memerintah Kelantan.

 

“PAS tidak ada pilihan untuk hadapi pilihan raya akan datang sama ada dengan Pakatan Harapan atau mungkin parti baharu yang bakal diwujudkan atau juga BN.

 

“Kalau bersendirian, saya sangat bimbang Kelantan akan kalah. Kalau dia bersendirian, mereka mengambil pendekatan bertanding tiga penjuru. Ini bermakna PAS bakal kehilangan Kelantan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat tiga jam bersama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang lain di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.

 

Bekas Naib Presiden PAS itu berkata, pandangan itu dibuat berdasarkan analisis terhadap senario politik negara ketika ini.

 

“Saya bukan Tuhan yang tahu tentang masa depan PAS, tetapi dalam pilihan raya kita ada analisa. Sebab itu PAS tidak bertanding di semua kerusi pada PRN Sarawak kerana perkiraan mereka cukup tipis untuk menang. Saya buat analisa Kelantan tidak dapat diselamatkan,” katanya.

 

Pada masa sama, Mahfuz berjanji akan terus setia bersama PAS.

 

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata, parti pembangkang turut mempersetujui penubuhan sebuah parti baharu tidak lama lagi untuk membentuk pakatan lebih besar menjelang PRU14.

 

Jelasnya, pembentukan parti baharu itu bertujuan menentang BN sekaligus memastikan parti pemerintah terkubur pada PRU14. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.