Lelaki Menyamar Polis, Miliki Bahan Letupan Didenda

KUALA LUMPUR – Seorang bekas kontraktor didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan letupan iaitu mercun bola ketika cuba memasuki Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini serta menyamar sebagai polis, Selasa lalu.

 

Majistret Mahyudin Mohmad Som turut memerintahkan Mohd. Amar Kamarul Zaman, 30, menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan keseluruhan denda berkenaan.

 

Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pintu A, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Jalan Bukit Aman di sini pada pukul 10 malam, 12 Julai lalu.

 

Pertuduhan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

 

Semalam, media melaporkan sepasang kekasih yang berada dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengaruh dadah, ditahan kerana cuba memasuki Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan menyamar sebagai anggota polis. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.