Bukan Isu Curi, Tapi Gengsterisme Pendorong Utama Rusuhan Low Yat

KUALA LUMPUR  – Isu kecurian dipercayai bukan satu-satunya penyumbang di sebalik insiden rusuhan di Plaza Low Yat, tetapi kewujudan elemen gengsterisme yang telah sekian lama bertapak di premis perniagaan itu turut menjadi pendorong utama.

 

Malah, jika gagal ditangani secara berkesan, tidak mustahil elemen gengsterisme di plaza berkenaan boleh bertukar menjadi ‘bom jangka’ yang hanya menanti masa untuk meledak dengan kesan lebih kronik kepada perpaduan negara.

 

Sehubungan itu, pelbagai pihak mendesak Kementerian Dalam Negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneliti secara terperinci hingga ke akar umbi punca insiden rusuhan terbabit dan bukannya hanya memberi fokus kepada aspek kecurian semata-mata.

 

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kejadian rusuhan itu mungkin boleh dielakkan jika suspek yang didakwa mencuri diserahkan kepada pihak berkuasa untuk diadili, dan bukannya dipukul dengan sesuka hati.

 

“Yang bersalah tetap bersalah tetapi jangan kita tutup mata kepada persoalan gengsterisme di Plaza Low Yat. Jika suspek yang mencuri didakwa, bagaimana pula dengan tindakan undang-undang ke atas kumpulan yang memukul suspek? Perbuatan itu juga salah.

 

“Video kumpulan ini memukul suspek sudah menjadi viral dan rakyat tentu mempersoal jika mereka tidak dikenakan sebarang tindakan. ‘Persiapan’ mereka yang lengkap bersenjata kayu dan sebagaimananya juga mencetuskan persoalan kewujudan gengsterisme.

 

“Semua ini harus dilihat dan diperhalusi pihak berkuasa dengan sebaik mungkin kerana kita tidak mahu wujud gengsterisme di premis perniagaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Rusuhan di Plaza Low Yat pada Ahad tercetus hasil insiden pergaduhan kecil antara suspek dengan kumpulan peniaga di premis berkenaan tetapi kemudiannya melarat apabila kejadian tersebut dihangatkan menerusi media-media sosial.

 

Sehingga kini 25 individu telah ditahan pihak berkuasa dengan majoritinya adalah mereka yang terlibat dalam rusuhan pada Ahad lalu.

 

Dalam pada itu, Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah mendakwa, pihaknya telah lama menerima aduan kononya premis perniagaan itu dikawal kumpulan gengster bukan sahaja bagi memantau pergerakan pihak berkuasa tetapi juga menggertak pelanggan.

 

“Kami menerima aduan daripada pengguna sejak tiga tahun lalu bukan sahaja mengenai penjualan barangan tiruan secara terang-terangan tetapi juga elemen gengsterisme. Tapi sangat menghairankan kerana tiada tindakan berkesan diambil pihak berwajib.

 

“Pihak berwajib perlu sedar, jika tidak dikuatkuasakan pemantauan dan tiada tindakan, peniaga akan menjadi berani apatah lagi jika wujud gengster di belakang mereka. Keadaan ini jika tidak perbetulkan segera, pengguna yang akan menjadi mangsa,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.