Zakia Diculik, Masih Hidup

SANDAKAN: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan anggota polis yang masih gagal ditemui, Konstabel Zakia Aliep, 26, dalam serangan hendap lapan lelaki bertopeng bersenjata terhadap anggota keselamatan sedang bertugas di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul Semporna pada malam Sabtu lepas, telah diculik.

“Kita sudah mengatahui anggota kita ini telah dilarikan penjenayah dan setakat ini belum mengetahui lagi lokasi sebenar di mana anggota polis yang diculik itu,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Sandakan, petang kelmarin.

Turut bersama Khalid sejurus tiba di Lapangan Terbang itu ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jamaluddin Abdul Rahman, Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rowell Marong dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintenden Fadzil Mohd Ali.

Beliau berkata, Zakia ada menghubungi isterinya pada malam Ahad bagi memaklumkan kepada isterinya bahawa dia dalam keadaan selamat.

“Anggota kita itu juga memberitahu isterinya yang dia tidak diapa-apakan dan dikawal oleh kumpulan penjenayah terbabit,” katanya.

Khalid berkata Zakia menghubungi isterinya itu kira-kira jam 10 malam Ahad.

“Dengan perkembangan terbaharu ini, kita percaya dia telah diculik oleh penjenayah terbabit,” katanya.

Ditanya jika ada dalang dalam insiden berkenaan, beliau percaya ada dalang yang memaklumkan penjenayah terbabit berkenaan kedudukan pasukan keselamatan.

Setelah mengetahui kedudukan pasukan keselamatan katanya, mereka (penjenayah) mudah mengambil kesempatan melakukan serangan dan sebagainya. Setakat ini, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut dari pelbagai aspek.

Ditanya sama ada dalang sudah dikesan oleh polis, beliau memberitahu pihaknya ada sasaran tertentu, namun perlu disiasat terlebih dahulu.

Khalid juga berkata tiada sebarang tuntutan dibuat oleh penjenayah.

Menjawab satu soalan mengenai lokasi Zakia ditempatkan oleh penjenayah, Khalid berkata setakat ini pihaknya boleh mengagak lokasi itu, tetapi belum dapat pastikan sepenuhnya di mana dia berada.

Dalam insiden kira-kira jam 11 malam Sabtu lepas, seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Koperal Rajah Jamuan, 32, terbunuh akibat terkena tembakan dalam serangan hendap oleh lapan lelaki bertopeng bersenjata di pusat peranginan berkenaan. Mayat Rajah ditemui terapung di bawah jeti Smart Water Bungalow Resort di Pulau Mabul kira-kira jam 1.40 pagi.

Sementara Konstabel Zakia gagal ditemui dipercayai dilarikan oleh kumpulan bersenjata selepas serangan itu.

Read more: http://www.theborneopost.com/2014/07/15/zakia-diculik-masih-hidup/#ixzz37WsuVqvH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.